Wednesday 23 January 2019

Fatwa berkaitan harta sepencarian

Harta sepencarian juga turut diputuskan melalui keputusan Fatwa Muzakarah Kebangsaan yang menyatakan bahawa:
1. Segala yang diberi atau dihibahkan oleh suami kepada isteri atau sebaliknya dengan bukti secara syarak atau dengan pengakuan dari pihak yang memberi adalah menjadi hak kepada yang menerima.
2. Mengenai rumah tempat tinggal dan perabot pada dasarnya adalah menjadi hak suami kecuali ada kenyataan menunjukkan bahawa suami menghibahkan kepada isterinya, atau isteri yang punya.
3. Mas kahwin, pakaian dan nafkah pada dasarnya adalah menjadi hak isteri.

Di Malaysia, perundangan mengenai harta sepencarian ini telah diterima pakai serta diperuntukkan di dalam undang-undang keluarga Islam Negeri dan juga Wilayah Persekutuan. Di samping itu, di dalam konteks harta sepencarian di dalam harta pusaka, beberapa negeri telah mengeluarkan fatwa mengharuskan tuntutan di buat oleh mana-mana pihak ke atas harta sepencarian yang dimiliki atas nama suami atau isteri yang telah meninggal dunia. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Selangor telah mewartakan fatwa tentang pembahagian harta sepencarian di antara suami isteri setelah kematian salah satu pasangan sama ada kematian isteri atau kematian suami.
Fatwa tersebut menjelaskan seperti berikut:

1. Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di Negeri Selangor boleh dibahagikan kepada suami atau isteri sebelum difaraidkan termasuk setelah dilepaskan tanggungan di mati.
2. Pembahagian harta sepencarian tersebut hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua belah pihak.
3. Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah Mahkamah.

Berdasarkan kepada Fatwa tersebut jelas menunjukkan bahawa salah satu pihak yang selepas kematian salah satu pihak yang lain boleh menuntut harta sepencarian sebelum difaraidkan kepada ahli waris.

Bagi harta tanah rancangan FELDA, pihak berkenaan telah menerima konsep pembahagian harta tersebut akibat kematian yang menjadi dasar memberi keutamaan kepada balu si mati yang telah bersama-sama menyertai rancangan tanah sebagai waris pengganti. Perkahwinan menjadi perkara pokok kepada perolehan harta tanah rancangan FELDA tersebut kerana ianya dibuka kepada mereka yang telah berkahwin sahaja yang layak menyertainya.

Dalam perkara tersebut, Fatwa Majlis Kebangsaan turut mengesahkan dasar perolehan harta sepencarian ke atas tanah rancangan FELDA tidak bercanggah dengan Hukum Syarak. Fatwa tersebut menjelaskan bahawa:

1. Bersetuju bahawa amalan yang dilaksanakan di rancangan FELDA mengenai pewarisan harta yang berdasarkan AKta Tanah 1960 adalah tidak bertentangan kerana persetujuan satu penama itu dibuat atas persepakatan semua pihak yang terlibat.

2. Sekiranya tidak mendapat persetujuan waris-waris untuk melantik seseorang daripada mereka sebagai wakil maka:-
(i) Harta simati hendaklah dijual.
(ii) Penjualan harta tersebut hendaklah diberi keutamaan kepada waris.
(iii) Hasil dari penjualan harta tersebut hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut faraid.
(iv) Kalau harta simati tidak habis dibahagikan, maka lebihan pembahagian itu hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

3. Bersetuju bahawa amalan yang dilaksanakan di rancangan FELDA mengenai harta sepencarian tidak bertentangan dengan Hukum Syarak.

Secara ringkasnya, harta sepencarian boleh wujud dalam tiga keadaan iaitu:-
Pertama: Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak, dengan usaha bersama mereka.

Kedua: Harta yang diperelohi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak, dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu.

Ketiga: Aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak oleh pihak yang satu lagi atau dengan usaha bersama suami isteri.

No comments:

Post a Comment

Perbezaan Fasakh dan Talaq

Perbezaan pertama ialah tentang hubungan di antara suami dan isteri, iaitu jika perceraian itu berlaku menerusi talaq rajii (talaq yang bole...