Wednesday 23 January 2019

Poligami di Malaysia

Dalam konteks undang-undang di Malaysia, seorang lelaki Muslim yang sudah berkahwin tidak boleh membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan yang lain melainkan setelah mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah Syariah.  Setelah mendapat kebenaran mahkamah untuk berpoligami dan sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan tersebut adalah sah menurut Hukum Syarak maka Mahkamah boleh memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan. Poligami tanpa kebenaran merupakan suatu kesalahan menurut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1000 serta penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya penjara dan denda.

Permohonan untuk kebenaran berpoligami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu iqrar menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan liabiliti kewangannya yang boleh ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperoleh terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.

 Setelah itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, jika ada, dan orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah boleh memberikan maklumat mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu untuk hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberikan kebenaran yang dipohon itu jika berpuas hati bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, dengan mengambil kira, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, ketidaklayakan dari segi jasmani untuk persetubuhan, keingkaran sengaja untuk mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu; bahawa pemohon akan berupaya memberikan layanan yang adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak; dan bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syari’e kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

No comments:

Post a Comment

Perbezaan Fasakh dan Talaq

Perbezaan pertama ialah tentang hubungan di antara suami dan isteri, iaitu jika perceraian itu berlaku menerusi talaq rajii (talaq yang bole...