Wednesday 23 January 2019

Perbezaan Fasakh dan Talaq

Perbezaan pertama ialah tentang hubungan di antara suami dan isteri, iaitu jika perceraian itu berlaku menerusi talaq rajii (talaq yang boleh diruju’semasa bekas isteri menjalani iddah), maka hubungan perkahwinan di antara mereka berdua belum lagi terputus kecuali apabila talaq tersebut bertukar menjadi talaq bain, iaitu sesudah habis iddahnya atau sejak awal-awal lagi dia diceraikan dengan talaq tiga.
Perceraian dengan sebab fasakh menyebabkan hubungan perkahwinan mereka terputus. Mereka tidak akan dapat kembali semula sebagai pasangan suami isteri kecuali dengan akad perkahwinan yang baru sekalipun bekas isteri masih di dalam iddahnya. Kedudukannya adalah sama seperti di dalam talaq bain.
Perbezaan kedua dari sudut bilangan talaq, si suami yang menceraikan isterinya menerusi talaq biasa begitu juga menerusi cara khulu’ akan berkurangan bilangan talaq yang dimilikinya, tetapi jika perceraian itu berlaku menerusi fasakh, maka bilangan talaq tidak akan berkurangan sekalipun dia merujuk kepadanya sesudah itu dengan akad perkahwinan yang baru.

Nafkah dalam keadaan Fasakh
Para fuqaha‟ berbeza pendapat dan pandangan tentang hukum memberi nafkah sekiranya berlaku fasakh antara suami isteri sebagaimana seperti berikut:-

Fuqaha mazhab Hanafiyy berpandangan bahawa sekiranya fasakh berlaku disebabkan suami sama ada kerana perkara yang ditegah ataupun tidak, isteri berhak menuntut semua jenis nafkah kerana halangan perkahwinan datang daripada pihak suami.

Sekiranya fasakh berlaku berpunya daripada pihak isteri, dengan perkara yang harus seperti menyusukan anaknya yang masih kecil, maka isteri berhak mendapat nafkah memandangkan dia tidak melakukan perkara yang menyebabkan gugurnya pemberian nafkah selepas ia diwajibkan.

Adapun sekiranya fasakh yang berlaku disebabkan pihak isteri dengan perkara yang ditegah, contohnya isteri murtad, maka isteri tidak berhak mendapat nafkah kerana ia menghalang kemesraan suami isteri (al-istimta‟) hasil daripada kehidupan berumahtangga dengan perkara maksiat, maka dia tidak berhak mendapat nafkah seperti isteri yang nusyuz. Walau bagaimanapun, dalam keadaan ini, dia berhak mendapat tempat tinggal kerana menetap di rumah suami ketika itu merupakan perkara wajib (hak Allah) dan ia tidak gugur dengan sebab maksiat yang dilakukan.

Fuqaha mazhab Malikiyy, Hanbaliyy dan Shafi‟iyy berpandangan sekiranya berlaku fasakh dan wanita tersebut hamil maka dia berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal secara mutlak. Hal ini kerana dia perlu memberi perhatian yang lebih pada kehamilannya yang merupakan hasil daripada sebuah perkahwinan.

Sekiranya dia tidak hamil, maka dia tidak berhak memperolehi nafkah kerana keadaan ini menunjukkan bahawa dia telah terputus daripada semua perkara yang berkaitan dengan pernikahannya dan juga pembubaran kehidupan berumahtangga secara keseluruhannya. Adapun tempat tinggal: fuqaha mazhab Malikiyy dan Shafi‟iyy berpandangan bahawa hukumanya adalah wajib. Fuqaha Hanbaliyy pula mempunyai dua riwayat; riwayat yang paling masyhur: isteri tersebit tidak berhak mendapat tempat tinggal selepas berlakunya fasakh. Riwayat yang kedua: isteri tersebut hendaklah berhak mendapat tempat tinggal.

No comments:

Post a Comment

Perbezaan Fasakh dan Talaq

Perbezaan pertama ialah tentang hubungan di antara suami dan isteri, iaitu jika perceraian itu berlaku menerusi talaq rajii (talaq yang bole...