Wednesday 23 January 2019

Sulh di Mahkamah Syariah

Setiap kes yang didaftarkan di mahkamah akan melalui satu proses tapisan di mana Pendaftar mempunyai kuasa untuk mengenl pasti kes-kes yang perlu disalurkan kepada Majlis Sulh sebelum dilanjutkan ke mahkamah untuk perbicaraan. Kes-kes yang tersebut tidak boleh ditetapkan untuk perbicaraan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh saman tersebut difailkan. Malah Pendaftar selaku Pengerusi Sulh, sekiranya mengenal pasti sesuatu kes sebagai kes Sulh, perlu menetapkan tarikh pertemuan pertama Majlis Sulh dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan saman dengan menyampaikan Notis Majlis Sulh kepada pihak-pihak yang terlibat seperti yang termaktub dalam Kaedah 3  yang antara lain menyebut-

Jika, selepas diterima sesuatu saman atau permohonan bagi apa-apa kausa tindakan, Pendaftar berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi penyelesaian antara pihak-pihak kepada tindakan itu, Pendaftar

(a) tidak boleh menetapkan tarikh perbicaraan bagi tindakan itu dalam tempoh tiga bulan dari penerimaan saman atau permohonan itu; (b) hendaklah dengan seberapa segera yang boleh dilaksanakan, menetapkan tarikh bagi pihak-pihak mengadakan Sulh; dan (c) hendaklah menyampaikan notis tentang tarikh yang ditetapkan bagi Sulh kepada pihak-pihak.
Prosedur penyerahan Notis Sulh kepada pihak-pihak di dalam Majlis Sulh hendaklah mengikut prosedur penyerahan saman sebagaimana yang terdapat di dalam Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri-Negeri. Serahan boleh dilakukan samada secara serahan kediri (bagi penyampaian dalam bidang kuasa) atau melalui mana-mana mahkamah yang mempunyai bidangkuasa di dalam kawasan tempatan penerima serahan tersebut (bagi penyampaian luar bidang kuasa).

Pihak-pihak yang terlibat dalam kes Sulh sahaja yang perlu menghadirkan diri dalam Majlis Sulh tanpa campur tangan peguam atau orang tengah yang lain kecuali dengan kebenaran Pengerusi.
Dalam Majlis Sulh, Pengerusi berperanan membantu pihak-pihak yang bertikai bagi menyelesaikan pertikaian mereka seusai rintihan kedua-dua pihak telah didengari. Susur galur gerak kerja Pengerusi atau pegawai Sulh diperincikan dalam Manual Kerja Sulh agar Majlis Sulh dapat dikendalikan secara efektif dan teratur yang antara lain menggariskan tatacara perjalanan Majlis Sulh bermula dengan sesi ta‟aruf antara pegawai Sulh dan pihak-pihak yang bertikai, pembentangan tuntutan kes, dan perbincangan bersama bagi mencapai jalan penyelesaian kepada masalah yang berbangkit. Sekiranya kedua-dua pihak nyata tidak dapat bersepakat dalam mana-mana tuntutan yang dibangkitkan, maka pegawai Sulh akan membuat pertemuan secara kaukus terlebih dahulu sebelum menemukan kedua-dua belah pihak dalam perbincangan langsung. Pengerusi antara lain juga diberi kuasa untuk mengambil keterangan, menerima apa-apa dokumen yang relevan dengan perjalanan kes serta boleh menangguhkan kes sekiranya dirasakan perlu.

Perjanjian persetujuan antara pihak akan mengikat pihak-pihak yang terlibat sebaik sahaja ianya direkodkan sebagai penghakiman persetujuan. Dalam erti kata lain, mana-mana perjanjian persetujuan Sulh tidak boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan tanpa terlebih dahulu memperolehi perintah Mahkamah. Oleh itu, deraf perjanjian akan dikemukakan terlebih dahulu kepada pihak-pihak terbabit untuk disahkan dan ditandatangani. Sekiranya pihak-pihak berpuas hati dengan terma-terma yang dimasukkan dalam perjanjian persetujuan, maka ia akan direkodkan sebagai penghakiman atas pengakuan atau persetujuan sepertimana yang termaktub dalam seksyen 131 Akta 585 di hadapan mahkamah dengan kehadiran kedua-dua pihak berserta peguam mereka (sekiranya ada)
Kesan perjanjian persetujuan Sulh yang menepati kehendak Hukum Syarak yang telah direkodkan dan disahkan oleh Mahkamah tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu oleh pihak-pihak yang terlibat dengan perjanjian persetujuan tersebut.

Manakala, sekiranya Majlis Sulh mendepani jalan buntu dalam membantu pasangan bertikai, maka Pengerusi perlu mengemukakan laporan berserta sebarang catatan dan syor yang difikirkan perlu sebagai panduan mahkamah sebelum penetapan tarikh bicara prosiding tersebut dilakukan.

No comments:

Post a Comment

Perbezaan Fasakh dan Talaq

Perbezaan pertama ialah tentang hubungan di antara suami dan isteri, iaitu jika perceraian itu berlaku menerusi talaq rajii (talaq yang bole...